Wednesday, January 25, 2012

sajak-sajak pendek tanpa tajuk kembali lagi

kembali dari sini



36

disini ada Sunnah
disini ada Rahmah
disini ada Sakinah
disini rumah Allah


37

Sunnah Nabi
isteri pertama
tiada bermadu

Sunnah Nabi
beristeri lebih dari satu
pilih yang mana satu?


38

kelebihan lelaki
keatas wanita
adalah kepimpinannya

kelebihan wanita
keatas lelaki
adalah pimpinannya


39

Jika buah adakah Akhlak
bijinya adalah Kalimah
untuk ditanam
disiram
dan dibaja
akan tumbuh
menjadi pokok
Iman dan Amal


40

diusiamu
setengah abad
cintaku kekal
sepenuh abad


41

usia tidak akan menghalang
dunia akan terus menawan
cinta tidak akan menghilang


 42

jangan lupa membawa obor
kalau hendak turun kekali
jangan lupa mengenang umur
kalau hendak bercinta lagi
kahkahkah

Thursday, January 19, 2012

aku dan tabligh 2

Atas permintaan ramai(konon) kisah aku dan tabligh bersambung:


1985

Antara cerita-cerita awal yang aku dengar
(sebelum aku ikut serta)mengenai Jemaah Tabligh,
ialah tentang 2 orang ahli jemaah  mereka yang
ditembak mati oleh tentera Filipina di suatu sekatan
jalanraya. Mereka adalah As syahid Cikgu Zaki dan
Ustaz Abdullah. Jenazah mereka disemadikan disana.


Rupanya isteri Cikgu Zaki ini adalah sepupu aku
yang tinggal di Golok. Kak Ma isteri Cikgu Zaki ni
pernah tinggal bersama kami di Kuantan selama
beberapa bulan semasa dia masih remaja sekitar tahun 70an.
Aku masa tu masih di sekolah rendah.

Tapi aku tidak pernah berjumpa dengan Cikgu Zaki.
Aku cuma pernah berjumpa dengan seorang karkun
(gelaran mereka yang buat usaha agama) dari Filipina
yang hadir masa perkebumian beliau dan Ustaz Abdullah.

Karkun dari Mindanao itu aku jumpa semasa berada di markas
tabligh di Karachi. Dia cerita (dengan broken english yang teruk)
bahawa semasa perkebumian jenazah mereka ada beribu orang hadir
mengiringi. Dan asbab peristiwa kesyahidan mereka itu beribu orang
kristian di sana telah kembali pada islam. Subhanallah.

Tentu pulak ada antara kamu membuat telahan yang
aku ini ada darah keturunan dari Siam kerana ada
saudara-mara di sana. Tapi ramai orang lupa bahawa
wilayah selatan Thai termasuk Pattani dan Naratiwat
adalah sebahagian dari Negeri Kelantan suatu masa
dahulu. Sebelum campurtangan British memisahkan
mereka.

Dan rupanya baru aku tahu sebenarnya arwah emak
aku berketurunan Jawa. Ya. Mungkin ramai yang tak
tahu termasuk aku bahawa ada keturunan Jawa di
Kelantan. Cuma mungkin bahasa jawa mereka
dah ditewaskan oleh loghat Kelantan. Hah!

Dah keluar dari tajuk pulak!

Adakah aku patut jadi bangga sebab ada darah
Jawa mengalir dalam tubuh ini?
Masa kan. Kerana Allah telah berfirman
yang mulia antara kamu adalah Taqwa.

Semasa aku mula-mula berhijrah keKuantan
ditahun 1970 bersama famili, aku menjadi
bahan ejekan kawan-kawan dikampung
tempat kami sekeluarga menyewa dan
juga di sekolah. Disebabkan loghat Kelantan
yang aku bawa. Langsung aku berusaha
untuk menghilangkan loghat itu dari lidah
ini.

Sekarang Najihah Lee Abdullah
cina Kelantan ni pun tak percaya
pada mulanya aku berasal dari
Tanah Merah Kelantan. Tempat
asal beliau juga. Hingga aku terpaksa
membawa surat beranak untuk
aku buktikan.

Ok cukup. Kembali kita ke topik asal.

Selepas grad aku kerja menolong emak aku
berniaga digerai buah-buahan famili kami distesen
bas Kuantan. Semasa disini lah aku didatangi
oleh seorang yang telah menyampaikan
dakwah pada ku. Orangnya bercakap dengan
berhemah. Dia bercerita tentang agama dan
akhir sekali mengajak aku meluangkan masa
untuk pergi ke masjid Beserah setiap Sabtu.


Dia yang kemudiannya aku kenal sebagai
Khairi, seorang tentera di TUDM Kuantan.
Bila aku beritahu dia yang dialah orang
pertama yang buat dakwah padaku. Dia
cuma sebut, "Syukur Alhamdulillah."
Tapi dia sendiri telah lupa akan peristiwa
itu.

Menyampaikan dakwah pada siapa saja.
tidak kira masa dan tempat. Hingga lupa
pada siapa dia dakwahkan. Itu lah kerja
dakwah yang sebenar.

Banyak sangat peristiwa yang aku tidak dapat
lupakan semasa buat kerja agama ini.
Terlalu banyak. Terutama semasa keluar
di India, Pakistan dan Bangladesh.

Tapi apa yang lebih penting adalah
pengertian apa dakwah itu sendiri
yang telah dapat aku fahami.

Dakwah adalah suatu usaha yang
bermula dari kalimah Iman.

LAILAHAILLALLAH

Apabila kita menyebutnya dan
percaya akan dia, maka bermulalah
tugas dakwah itu sendiri. Mahu atau
tidak mahu.

Setiap kali kita mengajak orang kepada
kalimah ini. Seiap kali keyakinan dan keimanan
pada Allah akan meningkat. Asal saja niat
kita untuk dakwah diri sendiri.

Bila keyakinan kita bertambah. Amalan kita
akan bertambah. Bila amalan kita bertambah.
Nur pada dakwah kita akan bertambah.
Bila nur pada dakwah kita bertambah cahayanya,
orang yang mendengar dakwah kita akan
mudah menerima ajakan kita.

Maulana Ilyas r.a. yang memulakan usaha agama ini
lebih 50 tahun dahulu tidak pernah menulis walau
sebuah kitab. Tapi usahanya telah berjaya membawa
berjuta umat kepada Agama. Hingga sekarang jemaah
yang bermula dari orang-orang Mewat di India yang
rata-rata mereka adalah petani yang buta huruf, sekarang
telah bertebaran kesegenap muka bumi. Tiada satu jemaah
dibawah seorang amir yang bertebaran begitu besar dan
meluas dan begitu lama kecuali jemaah ini, dan ianya
melampaui batas sempadan, fahaman, mazhab,
aliran politik, adat, budaya yang berbeza.


Aku percaya Maulana Ilyas adalah Mujadid kurun
ke 20. Setiap Mujadid mengikut pandangan ulama-ulama
akan hanya dikenali dan diiktiraf oleh masyarakat
umum Islam hanya selepas 100 tahun kematianya.
Dan kalau ada antara kamu yang masih hidup 50 tahun dari sekarang
ingat lah kata-kata aku ini.

Dibawah ini adalah sebahagian kawan-kawan
aku yang aku kenal sebelum
dan selepas buat usaha agama.

1. Azlan. Classmate. Mengaku adik kepada Sting.
sama-sama start buat usaha. Sekarang off and on.
Solat 5 waktu di masjid.

2. Abdullah Jones. Rakan artist. Sama-sama start
buat usaha. Sekarang agak sejuk. Solat 5 waktu
di masjid.

3. Azizul. Classmate. Mula dapat hidayat lepas
tengok tsunami landa Langkawi. Masa tu sedang
main muzik di sebuah pub. Sekarang fultime
bilal masjid.

4. Hafizi. Classmate. Dapat hidayat lepas
kemalangan yang dahsyat yang mengorbankan
7 orang pelajar Malaysia di USA. Hanya dia yang
hidup dari 8 orang dalam sebuah kereta.
Sekarang masih sangat aktif. Seorang
ushawan yang berjaya.

5. Murad. Classmate. Kutu blues.
Hell Engine punya guitarist. Sekarang jadi Sufi.
Aliran radikal dalam Tabligh.

6. Razman. Classmate. Antara
member yang paling kuat kritik
Tabligh. Sekarang tak berhenti
buat dakwah. Manager petrol
station.

7. Kandar. Adik member.
Terbelah tangan tumbuk cermin
tingkap, bergaduh masa game
takraw Engine lawan Business
di ITM Shah Alam. Masih aktif
buat usaha. Ada kedai farmasi.

8. Nasar. Best friend adik aku.
Bekas 'doktor' berertukar
jadi warak.
Khidmat fulltime buat Masjid
Sri Petaling(Markas). Syahid
masa keluar 40 hari. Alfatihah!
Rindu sangat pada Nasar.

9. Achik. Bekas kutu romeo.
Dapat hidayat lepas kena tangkap
khalwat. Hadir mahkamah dengan
jubah dan kupiah. Buang kes asbab
solat hajat. Masih sangat aktif.
Seperti yang diduga berkahwin dua.
Isteri keduanya seorang Professor.

Dan ramai lagi mereka yang telah
kembali amal agama berkat adanya
usaha yang menyeru manusia kepada
Allah.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku (aku dan orang-orang yang menurutku) menyeru manusia kepada Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala i`tiqad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain".

Surah Yusuf ayat 108 








p/s: jom siapa nak ikut aku keluar 3 hari(selepas bertahun tak keluar) raya cina ni.










.

Sunday, January 15, 2012

aku dan tabligh




1986

Suatu hari sedang aku dan kawan baikku Lan dalam
keadaan terumbang-ambing. Kami diperkenalkan oleh Man 
kepada seorang bernama Ajaq. Orang Temerloh
graduan UKM Ajaq adalah lain dari kebiasaan. Tak 
seperti kutu-kutu yang biasa kami berkawan, dia 
sembayang 5 waktu setiap hari.

Ajaq masa tu bekerja dalam SKS di pejabat SUK.
Dia adalah kawan baik pada sepupu Man. Man bawak
Ajaq untuk tinggal dirumah famili dia dan mengajar
dia(Man) mengaji.

Dalam masa yang singkat Ajaq dan kami bertiga menjadi
sangat akrab. Berbekalkan kereta Nissan 120Y arwah
ayah aku, kami berempat akan kehulu-kehilir tak tahu
kerja apa. 

Ajaq betul mencabar minda kami dalam apa
jua yang diperkatakan. Kerap jugak kami bertengkar
atas sesuatu topik. Tapi kebanyakanya berakhir dengan
kami termanggu menerima kekalahan. Ajaq ni lain
dari kawan kami yang lain. Dia tak boleh hisap 
rokok tanpa gula-gula. Pun begitu cakapnya
tak pernah kosong malah sentiasa bergeliga.
Selalunya apabila dia bercakap kami akan
terlopong dan mengangguk-angguk sahaja.

Dan bila masuk waktu dia akan bersolat. Tak kira
dimana-mana pun. 5 waktu sehari. Kemudian Man
ikut bersolat sama. Dan suatu malam (belum sampai 
seminggu aku kenal dan berkawan dengan Ajaq)
aku tidak dapat tidur sampai kepagi. Aku berfikir
tentang banyak perkara yang Ajaq pernah katakan.
Kemudian aku menulis satu surat yang panjang,
satu surat yang paling panjang pernah aku tulis.
Surat kepada seorang gadis yang sangat istimewa
dalam hidup aku. Aku kata dalam surat itu
aku akan bagi sesuatu yang orang lain tak pernah
bagi kepadanya. Iaitu agama, aku kata aku akan
kembali pada agama dan harap dia pun sama.

Pagi itu lepas kedengaran azan aku solat subuh
untuk pertama kalinya selepas kali terakhir
terpaksa melakukanya diminggu orientasi
semasa aku jadi 'Freshie' di ITM.

Dan mulai hari itu aku tidak prnah tinggalkan
solat lagi.

Di suatu hari Sabtu, Ajaq bawa kami, kutu-kutu yang sudah
mula insaf dan solat ini ke sebuah masjid di Beserah. Masjid
itu adalah tempat suatu jemaah yang orang ramai panggil
Jemaah Tabligh mangadakan program mingguan
yang dipanggil majlis fikir atas iman dan amal. 

Sampai disitu kami melihat ramai anak muda, orang tua
serta kanak2 sedang berkumpul. Aku terleka sekejap
memerhati setiap dari mereka. Ramai diantaranya terutama
anak2 muda yang memakai korta dengan kopiah
yang berbagai jenis. Selepas solat maghrib
satu ceramah yang dipanggil bayan(majlis fikir) diadakan.
Dalam banyak perkara yang dicakapkan kali pertama aku
kesitu hanya ada satu perkara yang lekat diminda dan 
aku masih ingat sampai sekarang.

" Mendekatkan seorang Islam yang jauh dari Agama
adalah lebih baik dari mengislamkan 10 orang kafir"

Bermula dari hari itu kami akan kemasjid itu setiap Sabtu.

Masuk tahun baru 1987 Ajaq telah berjaya menolong aku
untuk masuk program SKS di Pejabat Agama Negeri Pahang,
di bandar Pekan. Bermulalah aku bekerja dan bergaul
dengan mereka-mereka yang berilmu agama. Mufti, Kadi,
ustaz dan ustazah. Besar harapan agar ilmu agama dapat
aku tingkatkan selama berada di 'lubuk agama' itu. Tapi
sangkaan aku ternyata meleset. Yang perempuan tetap
cerita tentang hal-hal perempuan, pasal anak, pasal kain, pasal
pinggan mangkuk dsn. Yang lelaki tetap cerita tentang hal-hal
lelaki, pasal perempuan, pasal bola, pasal memancing, pasal
kereta dsn.

Bila cuti aku balik ke Kuantan baru lah aku dapat dengar
cerita-cerita yang aku sedang haus untuk dengar dari
kawan-kawan, Ajaq, Lan, Man dan beberapa kawan baru 
dari jemaah tabligh. Baru ada cerita-cerita tentang kebesaran Allah,
kisah Nabi, kisah Sahabat, syurga dan neraka.

Selepas 9 bulan di Pejabat Agama banyak persoalan
datang bermain didalam kepala. Kenapa orang-orang
yang dikatakan orang agama dalam percakapan harian
mereka tidak menyebut dan bercerita tentang agama.
Sedangkan mereka-mereka yang berada dalam jemaah
tabligh yang rata-rata asal dari mereka yang kurang
ilmu agama amat ghairah tentang apa-apa yang berkaitan
tentang agama.

Dengan persoalan demikian aku tinggalkan mereka.
Aku berhenti. Dan dengan semua wang simpan
yang aku ada sebanyak RM1,800/-
aku keluar 4 bulan ke Pakistan kemudian ke India
dan Bangladesh dan kembali lagi ke India.

Sampai di benua kecil India baru aku faham
kenapa perlu keluar ke India belajar buat
usaha agama. Di Nizamuddin tak jauh dari
New Delhi tersegam markas tabligh sedunia.
Maksud tersergam itu bukan kerana besar dan
hebatnya dia punya masjid. Masjid Kuantan
10 kali lagi besar dan 100 kali lagi cantik.

Apa yang aku maksudkan, ianya tersergam
hebat dengan roh amalan Agama.

Jemaah dari seluruh dunia datang kesitu. Jemaah
keluar masuk sepanjang masa 24 jam sehari.
Markas Nizamuddin tak pernah tidur. Sepanjang
malam sentiasa ada mereka yang solat, yang berzikir
dan mengaji. Sepanjang malam jemaah tiba, dari
Timur Tengah, dari Asia Tenggara, dari Afrika,
dari seluruh dunia.

Dan pada siang harinya setiap hari jemaah-jemaah
yang telah 2-3 hari berada di Nizamuddin akan di
pecah-pecahkan dan di 'combine' dengan jemaah
dari India membentuk jemaah baru dan dihantar
untuk keluar dan belajar ke segenap perusuk
bumi India.

Suasana dizaman Sahabat di Masjid Nabawi
hidup dan subur disini. Suasana Dakwah, Iman
dan Amal.

Tak dapat hendak aku ceritakan semuanya
pengalaman semasa aku di India.
Ruangan dan masa disini amat terhad.

Namun keputusan yang aku ambil untuk
pergi kesana adalah keputusan yang paling
baik dan paling benar pernah aku lakukan.
Keputusan yang menjawab semua persoalan
tentang Agama dan tentang segala permasalahan,
tentang hidup dan tentang mati didunia ini.







.

untuk sahabat-sahabatku:

Man(nama sebenar dirahsiakan)
Lan(Azlan Shah Ahmad)
Ajaq(Professor Madya Dato' Dr AbdurRazaq Ahmed)

.









Saturday, January 7, 2012

suatu hari dikedai kasut




Liza melihat jam didinding kedai kasut tempat dia
sedang duduk menunggu pelanggan. Jam 10 pagi. 
Baru 1 jam masa berlalu dari waktu kedai dibuka.
Hari isnin memang begitu. Pelanggan yang datang
untuk membeli kasut atau selipar amat kurang. 

Siapa yang hendak datang membeli kasut masa-masa
begini. Masing-masing sedang sibuk bekerja. Walaupun
dia tidak kisah pada jumlah pelanggan yang ada atau
yang tiada. Tapi sekurang-kurangnya pelanggan akan
membuatkan dia tidak duduk sahaja membilang detikan
jam seperti sekarang.

Diperhatikan sepasang suami isteri tawkey kedai/majikannya.
Mr Tan dan Madam Tan. Apakah yang sedang mereka bicarakan
agaknya, sedang mengeluh tentang hari yang kurang pelanggan
seperti pagi itu agaknya. 

Tiba-tiba ada kelibat seseorang memasuki kedai itu.
Liza mengalihkan pandangannya kedepan. Kedua majikannya
berhenti bercakap. Liza bangkit mendapatkan pelanggan
yang baru masuk. Seoarang pak haji. Berkupiah dan berjanggut.
Tapi agak pelik sebab dia berjeans dan berkemeja T leher bulat.

"Ya, tuan haji boleh saya bantu," tegur Liza
"Tak, tengok-tengok aje," jawap pelanggan itu
sambil berpaling dan tersenyum pada Liza.
Baru Liza perasan, sangka awalnya yang
lelaki itu berumur dalam linkungan 60an meleset.
Dilihat dari wajahnya dia anggarkan umur pelanggan
pertamanya hari itu berusia dalam lingkungan 40an.

Di biarkan lelaki itu melihat-lihat. Berhenti ditempat
rak yang tersusun sandal perempuan. Dicapainya
satu sandal dilihat-lihat dan diletakkan balik. Liza
biarkan. Agaknya sedang mencari selipar untuk isterinya.

Dia mencapai satu lagi sandal, dilihatnya saiz. Diletakan
sandal itu kelantai, dilepaskan kaki dari seliparnya, dan 
menyarungkan kakinya pada sandal yang baru tadi.

Apahal pulak orang tua ni. Detik hati Liza.

"Cik, ini selipar untuk orang pempuan cik.
Orang lelaki punya sebelah sana," kata Liza.

Pelanggan itu tersenyum dan berpaling pada Liza.
Menunjukan sandal yang dia cuba tadi.

"Ini saiz 8, saiz 9 ada," kata pelanggan itu.

Liza memandang wajah lelaki tu. Dia teragak-agak.

"Ini selipar untuk isteri saya cik, kaki kami sama besar," 
kata AKU tersenyum.

Pembantu kedai yang aku agak berumur dalam lingkungan
20an itu juga tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.
Dia mencapai sandal itu.

"Saya rasa ada, sekejap yek," katanya dan beredar.

Aku memeng suka pergi beli selipar untuk isteriku.
Sambil membeli tu dapat juga aku menyakat pekerja-
pekerja yang ada dikedai kasut.




Wednesday, January 4, 2012

aku dan politik


Aku hendak bercerita tentang politik.
Tapi aku tidak tahu apa-apa tentang
politik semasa. Aku cuma ikut-ikut apa
yang orang lain kata.
Orang kata politik tu kotor, aku pun kata
politik tu kotor. Orang kata politik begini-
begitu. Aku pun kata politik tu begini-begitu.

Ayah aku pernah bertanding dalam pilihanraya
2 kali atas tiket perikatan ditahun-tahun 60an.
Tapi masa tu aku masih kecil dan tak ingat apa-apa.
Dan aku dikhabarkan kedua-dua kalinya ayah aku
tewas. Maklumlah ayah aku bertanding dikubu
kuat Pas di Kelantan.

Aku dengar orang kata, kalau ayah aku
bertanding di negeri asal dia di Pahang, ayah
aku mesti menang. Dan boleh jadi menteri seperti
sepupu dia dan sahabat karib dia, Tan Sri Yahya
Mohd Seth dan Abdul Rahman Talib 'respectively'.

Aku dibesarkan dalam keluarga amnu. Semua
saudara mara orang amnu jugak. Sekarang ipar-
ipar aku pun amnu jugak. Salah seorang ipar aku
adalah sepupu dan orang kanan pada Datuk Shabery Cheek
(sekurang2nya ada jugak la menteri yang kenal aku)
mujur jugak Shabery tak main kroni. Kalau tidak
dunia yang datang bergolek mungkin aku tak
mampu nak tolak. Syukur.

Tapi aku tak tahu dan tak minat politik.

Dan aku dalam dilema jugak sebab kebanyakan
kawan-kawan aku penyokong Pas. Dia
orang pulak kata orang Islam wajip sokong Pas.

Tapi aku pergi jugak mengundi. Tiap kali tak pernah miss.
Aku undi partai mana? Itu rahsia!

Tapi aku percaya dan penuh yakin dengan siasah(politik
dalam bahasa arab) Rasulullah SAW.
Dan kalau dibandingkan dengan teori politik yang mahsyur iaitu
*Polituk adalah cara bagaimana hendak beroleh kuasa dan
bagaimana untuk mempertahankan kuasa yang ada..

Siasah Rasulullah sangat hebat. Bagaimana Nabi beroleh kuasa?
Dengan mengajak manusia pada Allah. Yakni dengan dakwah.
Semakin ramai manusia mendapat hidayah semakin besarlah
kuasa islam dimuka bumi ini.

Bagaimana Nabi mengekalkan kuasa?
Dengan terus berdakwah, semua umat kena berdakwah,
yang baru masuk islam juga berdakwah. Orang berjihad dalam
dakwah, Allah janji dia akan kekalkan dia dalam hidayah. Dan
dengan berdakwah hidayah akan bertambah dan tersebar.
Sehingga tercapai cita-cita Nabi untuk menyelamatkan
seluruh manusia dari azab Allah dan masuk kedalam
syurga Allah.

Amerika akan jadi negara islam. Britain akan jadi negara
islam. Perancis akan jadi islam. Jepun pun akan islam.
Hukum Allah diatas muka bumi ini dengan sendirinya
akan terbentuk.

Kawan-kawan aku kata huh! Tak boleh tu. Lambat!
kita nak sekarang.

Kalau Sahabat dan tabii dahulu dapat lakukan. Kenapa
kita hari ini tidak. Bukankah islam pernah menguasai
dua per tiga dunia.

Kerana dahulu mereka berdakwah ikut Sunnah Nabi.
Tapi sekarang kita berdakwah ikut fikir kita sendiri.

Kita umat Islam bukan dilahirkan untuk membunuh orang
kafir. Tapi kita dilahirkan untuk menjadi sumber hidayah
bagi umat manusia. Dengan berdakwah dengan hikmah dan
kasih sayang. Apa itu hikmah dalam dakwah? Hikmah adalah
anugerah Allah kepada mereka-mereka yang usaha atas dakwah.
Hikmah adalah akhlak Nabi. Hikmah adalah yakin dengan
sunnah Nabi. Hikmah adalah kefahaman
yang dianugerah Allah dalam cara terbaik menangani seseorang
individu dalam berdakwah pada setiap masa dan keadaan.

Dan ianya adalah suatu ilmu yang dipanggil ilmu laduni. Suatu
ilmu yang kamu tidak akan dapat melalui kitab atau guru-guru.
Itu ilmu kefahaman yang Allah anugerahkan pada hamba-hambanya
apabila mereka bermujahadah di bumi Allah membawa dan
menyampaikan ayat-ayat Allah.

Air dipermukaan bumi akan meruap dan naik menjadi awan,
lalu menzahirkan hujan.

Begitu juga, setiap mujahadah mereka yang berdakwah,
setiap keringat, setiap susah-payah, setiap langkah, setiap
masa yang diluangkan, setiap harta yang dibelanjakan.
Akan berkumpul dan naik kelangit lalu Allah akan tukarkan
semua itu menjadi hujan hidayah.

Dan bumi ini akan basah dengan hidayah. Jauh dan dekat.
Lambat atau cepat.

Hanya inilah politik yang aku faham dan akan cuba untuk
aku amalkan.

Dan nabi pun pernah berpesan. Jika kamu mencari suatu kebenaran
carilah dan ikutlah sesuatu jemaah yang diketuai
oleh seorang amir, yang rata-rata ahli jemaahnya mengamalkan
sunnah Nabi. Dan antara sunnah Nabi yang besar selepas dakwah
adalah solat berjemaah dimasjid. Pergilah kemasjid dimana-mana didunia
ini dan kamu akan berjumpa mereka. Hatta di israel sekalipun.

Insyaallah.