Tuesday, July 23, 2013

semua yang bermula akan berjumpa garisan penamat




semua yang bermula akan berjumpa garisan penamat..

setelah mengambil masa
membaca kembali apa yang
aku pernah tulis di blog ini..
aku semakin faham..

rupa-rupanya blog ini aku tulis
untuk meng'impress' seseorang..
dan aku percaya maksudnya
telah aku capai..

dan setakat ini aku rasa
tiada lagi perkara yang aku hendak tulis..

lagi pun telaga ilham aku sudah kering
semuanya telah ditimba..
untuk menggali dan
mencari mata air baru..
keringat yang semakin tua
dan tenaga yang semakin surut
aku telah tidak terdaya lagi..

dengan masa yang makin
terhad dengan komitmen lain
yang lebih memerlukan perhatian
aku rasa blog ini telah sampai
ke penghujungnya..

aku tulis blog ini untuk seseorang
aku tujukan tulisan aku ini
untuk dia seorang..
dia pasti tahu siapa dia
yang aku maksudkan itu..

dan orang lain
yang membacanya hanya mendapat
tempias nya sahaja..

dan aku berharap semua yang
mendapat tempias itu
telah mendapat manafaat
yang berguna hasil dari
tulisan aku ini..

salam sejahtera untuk semua..





Tuesday, July 16, 2013

tangan yang belum pernah aku sentuh

dengan nama Allah

tangan yang hendak aku pimpin
dengan tangan aku yang berpeluh

tangan yang belum pernah aku sentuh

keatas garisan yang lurus
dengan  tetap dan terurus
dengan lembut dan patuh

teguh
demi Allah Taala Jalajalaluh







Saturday, July 13, 2013

enam sifat sahabat

Kejayaan manusia adalah dalam agama.
Sejauh mana dia dapat taat perintah Allah
dan ikut Sunnah Nabi S.A.W.

Ulamak telah menyatakan bahawa
untuk mencapai sesuatu kejayaan
kita perlulah mengikut langkah
mereka-mereka yang telah berjaya.

Dalam agama, kejayaan yang hakiki
telah dicapai oleh satu golongan
manusia yang tidak dapat disangkal
dan telah pun diiktiraf oleh Allah SWT sendiri
yang termaktub didalam Al Quran,
yakni para Sahabat Nabi SAW

Ulamak yang arif telah mengkaji
perihal sifat-sifat para Sahabat yang
telah membawa mereka kearah
kejayaan.

Dan telah dirumuskan bahawa
mereka(yakni para Sahabat)
mempunyai 6 sifat yang unggul, yang
mana jikalau sifat-sifat ini ada dalam
diri kita maka mudahlah bagi kita
mengamalkan keseluruhan
agama dan seterusnya akan
membawa kita kepada kejayaan
dunia dan akhirat

Sifat-sifat itu ada lah:

1. Hakikat Kalimah Toyibah

2. Hakikat Solah khusyuk dan khuduk

3. Hakikat ilmu dan zikir

4. Hakikat Ikram Muslimin

5. Hakikat Ikhlas Niat

6. Hakikat Dakwah dan Tabligh

Huraian:

1. Hakikat Kalimah Toyibah;
Lailaha illa Allah Muhammadurrasulullah

Maksud Lailaha illa Allah adalah,
kita hendaklah Yakin hanya Allah berkuasa
dan makhluk tidak ada apa-apa kuasa. Ini
dapat dicapai dengan mengeluarkan segala
kebesaran makhluk yang ada dalam
diri kita dan masukkan hanya kebesaran
Allah dalam hati kita.

Kelebihanya(contoh):

a) Barangsiapa diakhir kalamnya dapat ucap
kalimah Lailaha illa Allah, maka wajib syurga
baginya.

b) Jika ditimbang kalimah Lailaha illa Allah
dengan 7 petala bumi dan 7 petala langit
maka akan berat lagi kalimah
Lailaha illa Allah

c) ..

Cara untuk kita mendapatkannya:

i) Kita hendaklah dakwahkan kalimah ini
kepada manusia lain dan mengajak mereka
kepada Allah.

ii) Gunakan keempat-empat pancaindera
kita yakni telinga kita untuk sentiasa mendengar
kalimah2 yang membesarkan Allah, mengunakan
mata kita untuk melihat kebesaran Allah, mulut
kita gunakan untuk bercakap sentiasa tentang
kebesaran Allah dan fikiran kita memikirkan
tentang kebesaran Allah.

Dan jangan lupa untuk sentisa berdoa
semuga Allah anugerahkan kita hakikat
kalimah Lailaha illa Allah.

Sambungan dari kalimah Lailah illa Allah adalah
Muhammadur Rasulullah

Maksud Kalimah Muhammadur Rasulullah:
Kita hendaklah yakin hanyasanya cara hidup
Nabi sahaja yang akan membawa kita kepada
kejayaan dunia dan kejayaan akhirat, cara-cara
lain tidak akan membawa kita kepada apa-apa
kejayaan, malah akan membawa kita kepada
kegagalan.

Kelebihannya(contoh):

a) Barangsiapa yang menghidupkan satu
Sunnah Nabi diakhir zaman, dizaman fasya'
dan mungkar, maka Allah akan ganjarkan
dengan 100 pahala syahid.

b) ..

Cara untuk mendapatkannya:

i) Kita kena dakwahkan kepada manusia
tentang kelebihan Sunnah dan kehebatanya
dan mengajakan mereka kepada mengamalkan
Sunnah

ii) Kita perlu mengamalkan kesemua 3 bahagian
Sunnah iaitu, Surrah; penampilan diri Nabi, dari
hujung rambut hingga hujung kaki.
Sirah; yakni perjalanan hidup Nabi, dari Nabi
bangun tidur hingga Nabi tidur kembali, dan
Sarirah; fikir risau Nabi terhadap umat.

Dan Doa.

2. Hakikat Solah Khusyuk dan Khuduk

Maksud solah khusyuk dan khuduk ialah
membawa sifat-sifat ketaatan dalam solah
keluar solah dalam kehidupan harian kita.
Menjadikan solah sebagai penarik rahmat
dari Allah SWT dan menjadikan solah kita
sebagai penyelesaian kepada semua masaalah.

Kelebihannya(contoh):

a) Barang siapa yang menjaga solahnya
lima waktu sehari semalam, Allah SWT
akan beri dia 5 ganjaran;

Pertama, berkat rezeki didunia. Kedua,
kelepasan dari azab kubur. Ketiga, mendapat
buku catitan amal melalui tangan kanan di
padang masyar. Keempat, melintasi titian
sirat pantas seperti kilat, Dan kelima, masuk
kedalam syurga tanpa hisab.

b) Barang siapa menjaga solahnya selama
40 hari dimasjid dengan takbir bersama imam
akan mendapat 2 pelepasan, pelepasan dari
sifat munafiq dan pelepasan dari api neraka.

c) ...

Cara untuk mendapatkannya:

i. Dakwahkan orang lain kepada solah yakni
mengajak mereka kepada solah dengan
menceritakan kelebihan-kelebihan solah
dan kepentingannya.

ii. Amalkan solah diawal waktu
ditempat dimana azan dilaungkan
yakni dimasjid-masjid bagi orang lelaki
dan dirumah-rumah bagi kaum perempuan.

iii. Perbanyakkan solah-solah sunat.

dan Doa supaya Allah SWT anugerahkan
kita hakikat solah yang khusyuk dan khuduk.


3. Hakikat ilmu dan zikir

Maksud ilmu adalah, hendaklah
kita mengetahui apa dia perintah Allah
dan apa dia larangan Allah pada setiap
masa dan keadaan mengikut keutamaan
dan cara bagaimana Nabi SAW lakukan.

Kelebihannya:

a) Seorang yang berilmu lebih
ditakuti syaitan dari seribu orang abid.

b) Semua makhluk diudara, dilautan
dan didaratan akan memohon
keampunan pada orang yang keluar
dari rumahnya untuk menuntut ilmu.

c) ...

Cara untuk mendapatkannya;
Ilmu terbahagi 2. Ilmu
fadhail dan ilmu Masail(hukum hakam)

Untuk ilmu fadhail, hendaklah kita
menghadirkan diri kita dalam majlis-majlis
taalim yang dibaca hadith-hadith kelebihan
amal.

Dan untuk ilmu masail, kita kena bertanya
pada guru-guru yang mursyid.

Apa-apa ilmu yang kita pelajari hendaklah
kita amalkan dan kemudian sampaikan,
walaupun sepotong ayat.

Dan jangan lupa untuk kita doa supaya
Allah SWT anugerahkan kita hakikat
ilmu.

Dan maksud zikir pula, hendaklah kita
sentiasa mengingati Allah SWT dimana
saja kita berada setiap masa dan keadaan.

Kelebihannya:

a) Orang yang berzikir hidup disisi Allah
dan orang yang tidak berzikir mati
disisi Allah.

b) Orang yang mulut dia sentiasa basah
dengan berzikir akan masuk syurga dengan
tersenyum-senyum.

c) ...

Cara untuk mendapatkannya:

i. Amalkan zikir-zikir yang kita dapat
dari guru-guru kita atau kita amalkan
zikir yang umum, yakni zikir 300 pagi
dan 300 petang.

ii. Amalkan doa-doa masnun sebanyak-
banyaknya, yakni doa tidur, doa makan,
doa tandas dsn.

iii. Membaca AlQuran.

Dan doa


4. Hakikat Ikram Muslimin

Maksudnya, hendaklah kita tunaikan
hak-hak saudara kita tanpa menuntut
hak kita.

Kelebihanya:

a) barangsiapa menunaikan satu
hak saudara dia maka Allah SWT
akan beri dia 73 hasanah, satu diberi
semasa didunia sudah cukup untuk
kehidupan didunia ini, 72 lagi Allah
akan simpan untuk diberikan padanya
diakhirat nanti.

b) Barang siapa menunaikan satu
hajat saudara dia, Allah akan beri dia
10 tahun pahala iktikaf, satu malam
iktikaf Allah SWT akan bebaskan
dia dari neraka sejauh 3 parit, satu
parit jaraknya adalah antara bumi
dengan langit.

c) ...


Cara untuk mendapatkannya:

i. Sentiasa menziarahi saudara seislam
semata-mata kerana Allah SWT

ii. Kita hendaklah memuliakan orang alim,
hormat pada orang yang lebih tua dan
sayangkan kanak-kanak.

iii. sebarkan salam.

Dan doa.


5. Hakikat Ikhlas Niat

Maksudnya, kita hendaklah mengerjakan
sesuatu perintah Allah dan meninggalkan
sesuatu larangan Allah semata-mata kerana
Allah SWT.

Kelebihannya:

a) Suatu amalan akan digandakan
pahalanya jika dilakukan dengan
niat yang ikhlas.

b) Seorang yang sedekah sebiji tamar
dengan ikhlas Allah akan memberi dia
ganjaran sebesar Gunung Uhud.

c) ...


Cara untuk mendapatkanya:

i. Sentiasa periksa niat kita dan
perbetulkan niat kita setiap kali
kita rasa niat kita terpesong, di awal
sesuatu amalan, dipertengahan dan
diakhir setiap amalan yang kita lakukan.

ii. Lakukan setiap amalan
dengan istiqamah.

Dan Doa.


6. Hakikat Dakwah dan Tabligh

Maksudnya, hendaklah kita betulkan
salah faham umat bahawa harta dan
diri kita bukanlah milik kita tapi milik
Allah SWT. Semuanya untuk kita
korbankan demi menegakkan kalimah
Allah SWT.

Kelebihannya:

a) Sepatah perkataan menyeru manusia
kepada Allah lebih baik dari setahun
ibadat sunat.

b) Seketika berdiri dijalan Allah lebih baik
dari kita beribadat di depan Hajarul aswad
dimalam lailatul qadar.

Kita hendaklah menjadikan dakwah dan tabligh
menyeru manusia kepada Allah sebagai maksud
hidup kita

Untuk memudahkan kita bagi mempelajari
dan mendapatkan hakikat keenam-enam sifat
sahabat ini., hendaklah kita korbankan harta,diri
dan masa kita keluar kejalan Allah dengan
cara yang dipermudahkan oleh Ulamak-Ulamak
kita yang arif. Yakni 3 hari setiap bulan,
40 hari setiap tahun dan 4 bulan seumur hidup.

Kearah 10 hari setiap bulan dan 4 bulan setiap
tahun.

Serta istiqamah dengan 5 amal kerja-kerja tempatan:
iaitu, 2 gash(ziarah), 2 taalim(satu dimasjid dan
satu di rumah), mesyuarat harian dimajid kita,
luangkan masa sekurang-kurangnya 2 1/2 jam
setiap hari dan keluar 3 hari setiap bulan.

Semua ini adalah hanya 10 peratus dari
kehidupan harian kita.

Insyaallah semua kita bersedia.








Wednesday, April 24, 2013

sajak-sajak pendek tanpa tajuk 2013














ain't the table too big for two | A4 | watercolor on paper








kembali dari sini


43

pertandingan lawan bendera
dan poster adalah
pembaziran yang amat
nyata


44

kalau menang bendera
akan menang pilihanraya
gulung tikar pengusaha
batik seMalaysia


45

politik pilihanraya
adalah perebutan kuasa
antara orang-orang
yang mahu merasa
dengan orang-orang
yang belum puas merasa


46

politik Nabi
adalah
memberi kuasa pada
orang yang takut pada
yang Maha Kuasa


47

tiba-tiba aku teringat
seseorang
yang tangannya
belum pernah
aku sentuh


48

bimbang menyesal
pada apa-apa yang
belum dirasa
melebihi
sesalan pada saat-saat
yang dilalui didunia ini
tanpa Zikrullah


49

berbeza
 jari-jari
 kerana
saiz dan kuku
berbeza
hari-hari
  kerana
peri dan laku


 













Thursday, April 19, 2012

siapa tahu, mungkin dah tiba masa ku













Orang yang menyatakan; mereka-mereka yang meletupkan
dirinya bagi membunuh beberapa orang kafir sebagai
mati syahid(sedangkan mereka masih disini, ketawa
berdahak-dahak mendengar Ustaz Azhar buat kelakar
dalam masjid) adalah orang yang tidak yakin dengan
janji Allah atau seorang yang pengecut atau seorang yang
cinta dunia.

Kalau aku yakin ianya adalah mati syahid dah lama aku
akan letupkan diri aku demikian rupa. Buat apa lagi
hendak duduk kat dunia ini kalau memang syurga sedang
menanti kita.

Aku tidak buat demikian kerana aku yakin itu
bukan cara Nabi menyelesaikan masaalah umat.
Nabi tidak pernah menyuruh kita membunuh
orang kafir(kerana hendak atau tidak mereka tetap
akan masuk neraka) tapi Nabi menyuruh kita
menyelamatkan mereka dari neraka Allah.

Membunuh orang kafir amat senang sekali.
Tapi cabaran bagi kita yang cintakan Nabi
adalah membawa seramai yang boleh orang
kafir masuk kedalam cahaya Iman lalu
menyelamatkan mereka dari azab yang
pedih.

Ini adalah entri aku yang terakhir untuk
beberapa waktu sehingga pada satu kesempatan
yang lain jika Allah izinkan. InsyaAllah, minggu depan aku
akan keluar 40 hari buat usaha atas Agama.
Kali terakhir aku keluar 40 hari adalah 18 tahun
yang lalu.

Tak lama mana pun 40 hari itu. Sekejap
sahaja. Aku tidak akan dirindui. Kecuali
oleh anak-anak, mungkin dan isteri, pasti.

Telah berlaku pada 2 orang sahabat aku
dan beberapa orang yang lain. Mereka yang
telah lama tidak keluar 40 hari atau 4bulan,
apabila mereka keluar mereka jatuh sakit
lalu meninggal dunia syahid dijalan Allah.
Aku harap dan sentiasa berdoa itu yang akan
berlaku pada diri aku.

Siapa tahu, mungkin dah tiba masa buatku.

Orang yang kerja kais pagi makan pagi,
kais petang makan petang macam aku
kalau diikutkan dengan akal yang dangkal
memang tak dapat nak keluar 40hari.

Bagaimana dengan anak isteri yang
ditinggalkan. Siapa yang nak bagi
mereka makan.

Habis, kataku selama ini siapa yang
bagi mereka makan. Bukankah Allah
yang bagi mereka rezeki. Kalau kamu
kata kamu yang bagi mereka makan
dah pasti kamu sudah syirik dengan Allah.

Allah yang bagi George Bush makan,
takan Allah tak bagi isteriku yang puasa setiap
Isnin dan Khamis makan?

Beberapa hari lepas sedang aku
duduk di Rajawali memikirkan perkara ini
aku dengar seorang bagi salam. Seorang yang
berserban masuk dan memperkenalkan dirinya
sebagai seorang staff di UIA(sekarang baru tahu
dia adalah salah seorang imam dimasjid baru UIA)

Dia bertanya mengenai tempahan lukisan dan
langsung membuat tempahan lukisan Masjid
Sultan Haji Ahmad Shah UIA.

Duit bayaran tempahan itulah yang aku akan
tinggalkan buat keluarga aku bila
aku keluar nanti.

Allahu Akbar!






  

Wednesday, March 7, 2012

Salam Volleyball

Aku pernah wakili sekolah dalam pasukan volleyball
semasa berada di tingkatan 3.
Hanya satu perlawanan yang kami sertai. Itu pun
tanpa jurulatih dan tanpa latihan. Pakai tangkap muat sahaja.
Tidak pula aku ingat bagaimana ianya boleh berlaku demikian.

Kami sebagai tuanrumah menerima lawan
dari sebuah sekolah berasrama penuh di Kuantan.
Agak mengejutkan kerana 5-6 orang dari mereka
adalah bekas classmate aku semasa di sekolah rendah.

Mereka-mereka ini merupakan pelajar golongan
elite semasa disekolah rendah. Mereka berkawan
sesama mereka sahaja dan tidak rapat dengan
pelajar lain. Lebih-lebih lagi budak yang tak banyak
cakap dan bernombor berpuluh-puluh dalam kelas
seperti aku.

Dan apa yang aku agak berlaku pada hari itu memang
berlaku.  Walaupun mereka sekelas dengan aku sejak
dari darjah 2 lagi. Mereka bersikap sangat sombong dan berlagak.
Mereka hanya mengangguk kepala
seolah-olah mereka kenal kami baru semalam. Jauh sekali
hendak bertegur sapa atau bertanya khabar.

Lebih memburukan keadaan kami dibelasah teruk, 0-3.
Setiap satu set kami kena dibawah 5 mata. Mereka
bermain 'set' dan 'spike'. Dua perkataan yang pertama
kali kami dengar dalam volleyball. Bayangkan bagaimana
kami bermain.

Dan yang paling kami bengang, sebaik sahaja tamat permainan
kami dipaksa beratur dan bersalaman secara keretapi.
Kenapa tidak dibiarkan semuanya berlalu begitu sahaja,
kenapa dipaksa bersalam dengan orang-orang yang
tidak ikhlas untuk bersalam. Jelas dalam mata mereka
dan dalam senyum sumbing mereka, mereka mentetawakan
kami dan memperlekehkan kami.

Hendak sahaja aku perkata, "jom kita lawan bolasepak
pulak tengok siapa kuat.. nak?". Dan memang kami
pasti akan belasah mereka pulak, kerana kami kenal
mereka semua kaki bangku.

Kembali pada tajuk entri aku kali ini.

Sudah menjadi macam satu fenomena sekarang ini
di masjid dan surau-surau diseluruh Malaya, sebaik
sahaja selesai solat, para jemaah akan beratur dan
bersalaman. Mereka kata 'salam keretapi'. Tapi
bagi aku itu salam volleyball. Sebab keretapi biasanya
lebih panjang.

Salam keretapi hanya boleh berlaku
di masjid seperti Masjid Cenderawasih, Maghrib
dan Isyak aku biasa disini hampir setiap hari kerana
jaraknya hanya 150m dari Studio Rajawali.

Tapi Alhamdulillah ianya tidak berlaku kerana
jemaah Isyaknya separuh penuh. Kalau berlaku
salam keretapi, agaknya sampai tengah malam
baru usai bersalaman. Agaknya orang Cenderawasih
lebih cerdik dan masa muda-muda dulu mereka
permain volleyball seperti aku. Dah puas bersalaman.

Namun salam volleyball terus berlaku dikebanyakkan
surau dan masjid. Sudah menjadi tahap sesuatu
yang wajib pulak. Dah jadi sifat dan adat orang
melayu suka buat perkara yang Nabi tak buat.
Dah tu suka pulak pandang serong bila kita
tidak menyertai. Nak bersalam bersalamlah,
jangan jadi seperti memaksa sebagaimana
yang berlaku seperti setiap kali selesai
perlawanan volleyball.

Hanya bilamana masjid menjadi penuh atau
separuh penuh baru akan terhapusnya adat
ini agaknya. Kerana mereka pasti tak
sanggup untuk bersalam keretapi,
panjang dan berlengkar-lengkar.
Lebih-lebih lagi malam Jumaat,
kerana masing-masing mahu cepat pulang.

Tuesday, February 28, 2012

dunia tidak akan berubah..

Dunia tidak akan berubah. Walau apa pun yang kamu lakukan.

Maksud saya, untuk dunia ini berubah secara total memerlukan
sesuatu atau seorang bersama beberapa orang 
dengan sesuatu usaha yang luarbiasa.

 Kali terakhir dunia ni melihat suatu perubahan secara total
adalah lebih 1400 tahun dahulu.


Dunia ini berubah dengan usaha yang amat luarbiasa. Usaha
yang amat 'humble' (pada pandangan manusia)
yang tidak terfikirkan oleh sesiapa pun.
Kecuali dengan ilham serta perintah dari Allah Taala.


Lebih 1400 tahun dahulu seorang manusia yang amat istimewa
telah memulakan langkah dengan usaha untuk merubah dunia ini.


Apa yang telah dia buat. Dia telah pergi keluar dari rumahnya.
meninggalkan keselesaan dalam rumahnya, meninggalkan isterinya,
dia telah keluar dan berjumpa manusia dan mengajak mereka kepada
Allah.


Tiada orang yang dia tidak jumpa ditempat dimana dia tinggal.
Tiada pintu yang dia tidak ketuk. Tiada lorong yang dia tidak
lalui. Tiada kabilah yang dia tidak jumpa. Untuk apa?
Untuk mengajak manusia kepada Allah.


Daripada dia berseorangan, kemudian berdua, kemudian bertiga,
dan seterusnya sedikit demi sedikit jumlahnya semakin ramai.


Setelah 23 tahun beliau berusaha bersama pengikutnya
yang setia akhirnya seluruh negeri tempat beliau tinggal
berubah. Benar-benar berubah. Dari pembunuh, penzina,
pemakan bangkai, peminum arak, penjudi dsn
seluruh penduduk serta rakyatnya telah berubah
menjadi manusia terbaik.


Dan selepas 20 tahun beliau pergi meninggalkan
dunia ini. Dengan usaha beliau yang diteruskan oleh
sahabat-sahabat dan pengikut-pengikutnya
2/3 dunia telah berubah. 


Wanita pada masa itu boleh bermusafir beratus batu
tanpa diganggu. Orang kaya menghadapi masa yang
sukar kerana tiada orang yang miskin untuk diberi
sedekah. Buah-buahan yang sedang masak ranum
tidak gugur ketanah walau berbulan-bulan lamanya
menunggu tuannya pulang dari jalan Allah.
Serigala bermain-main dengan biri-biri.
Rezeki dan keberkatan dari bumi dan dari
langit mencurah-curah. Wabak dan penyakit
tidak ada. Bumi tidak bergoncang. Angin tidak
menjadi ribut.


Dunia hanya akan berubah bila manusia
mula keluar berjumpa manusia dan
mengajak mereka kepada Allah. Noktah.





















Sunday, February 12, 2012

jangan menyerupai





Khutbah pada solat Jumaat yang lepas bermula dengan membaca hadis ini,

daripada Ibnu Umar: Rasulullah bersabda;

 “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”.

riwayat: Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar

Kemudian khatib pun berhujah tentang mengenai asal usul
perayaan hari Valentine atau hari kekasih.. Tentang ianya
bermula dari negara Sepanyol dizaman pemerintahan Ratu
Isabella.. Perayaan ini berkaitan dengan perayaan
kemenangan kerajaan Kristian Sepanyol
keatas Kerajaan Islam Andalusia di kurun ke 15..

Tapi sebenarnya versi yang lebih popular adalah mengenai
seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom
sebelum Kristian bertapak disana pada  tahun 269 masihi..

Dan ada lagi beberapa versi yang agak kurang popular..

Apa yang aku ingin nyatakan disini adalah.. Walau apa pun
dan dalam apa jua keadaan, hujah yang hendak kita sampaikan 
perlulah dengan kajian dan berhujah dengan fakta yang tepat dan
betul.. Atau kalau ingin mengunakan mitos biarlah mengambil
mitos yang lebih popular..

Oleh kerana gereja Roman Katolik sendiri telah memadamkan
perayaan ini dari kelender rasmi mereka.. dan mengumumkan
hari Valentine bukan satu perayaan agama.. mengapa pulak kita
yang memandai menyatakan ianya perayaan agama kristian.

kenapa pulak aku mempertahankan perayaan yang tak berguna ini..
tanya kamu semua?

Untuk pengetahuan kamu semua yang berotak kecil.. Aku
menulis mengenai perkara ini sebab pada pendapat aku
perkara mengenai Valentine ini tidak perlu untuk dihujahkan
dimimbar Jumaat.. perkaranya sangat remeh jika dibandingkan
dengan fakta bahawa lebih 80 % umat islam pada masa ini
tidak mengerjaka Solat.

Dan ingatlah tidak solat adalah amat lebih menyerupai orang kafir
daripada menyambut hari kekasih.

Perlulah kamu orang semua tahu aku tak pernah hantar apa-apa
kepada sesiapa semasa jahil(sangat tak cool bagi seorang kutu
sambut Valentine)
atau selepas jahil(kerana solat mencegah aku dari buat demikian)
walaupun aku sudah ada isteri.

Pada pendapat aku.. Hari kekasih ini tak lebih dari suatu
acara yang melibatkan budaya barat. Dan ramai pihak yang
ingin mencapai kejayaan perniagaan daripada acara tahunan ini..
Its only business.. Ini semua orang yang cerdik tahu akan hal ini..

Ianya merupakan suatu perniagaan yang melibatkan pendapatan
global bernilai berbillion ringgit. Siapa yang mahu melepaskan
peluang dalam dunia yang bermata duitan ini..

Di dalam khutbah itu juga khatib menisytiharkan
fatwa dari Jakim yang menyatakan bahawa perayaan
hari Valentine adalah haram dan berdosa menyambutnya..

Memanglah orang-orang yang 'selok' menyambut hari kekasih ini
terdiri dari mereka-mereka yang jahil lagi bodoh.. Tapi
pernahkah kita fikir sebab apa mereka buat demikaian..

Dan dari kita mengerah tenaga membuat terjahan ke
tempat-tempat tumpuan para remaja bagi menangkap
mereka akibat menyambut hari kekasih.
Lebih baik kita kerah tenaga memikir, membuat
perancangan, memasang strategi mengajak mereka
kepada solat..
Bila seseorang itu mula solat bukan sahaja hari
kekasih mereka akan tinggalkan.. Menyambut
hari kelahiran jugak mereka akan lupakan..

Ye la.. menyambut hari kelahiran juga
budaya barat.. dan menyambutnya pun
sama seperti menyambut hari kekasih jugak..
Setahun sekali..

Menyambut kelahiran Nabi?

Entah akupun tak tahu.. Tapi yang pasti Nabi
tak pernah minta hari kelahiranya disambut..

Memanglah kata sebahagian mereka.. Memang
ianya bidaah.. Tapi bidaah hasanah..

Kata aku, tak salah buat bidaah hasanah kalau
amalan Sunnah kita telah sempurna..
Masaalahnya banyak lagi amalan Sunnah
yang kita tidak buat..

Amalan yang diberatkan kita tinggalkan.. Yang bidaah
sangat-sangat kita pertahankan..

Yang bidaah tu kita buat ala kadar dahlah dan
bila ditegur usahlah kita beriya sangat
mempertahankannya..

Walaubagaimanapun aku sukakan hadis yang
dibaca oleh khatib masa khutbah itu yang
bermaksud:

Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda,
Di antara fitrah Islam ialah mengerat misai
dan memanjangkan janggut kerana sesungguhnya
orang-orang Majusi memanjangkan misai mereka
dan mengerat janggut, berbezalah kamu daripada
mereka dengan mengerat misai kamu dan
memanjangkan janggut-janggut kamu” (Ibnu Hibban)

Selepas mendengar hadis ini aku memandang keliling
dan rata-rata aku dapati ramai antara ahli jemaah
yang tiada berjanggut.. Dan yang berjanggut pun
digunting rapat.. Hadis ini bukan suatu yang jarang
kita dengar.. Tapi adakah mereka tak faham makna
"memanjangkan janggut". Aku faham sebab aku
cerdik.. Kamu?

Dan oh jangan lupa kamu yang
mengaku bermazhab Shafie.. Sila semak kembali
kitab beliau.. Didalamnya Imam Shafie ada
memberi pendapat yang memanjangkan janggut
adalah wajib dan mencukurnya adalah haram..

Atau pun kamu mahu berubah mazhab sekarang..
Boleh saja ikut Hanafi.. Yang menyatakan memanjangkan
janggut itu Sunat Muakkad dan Mencukurnya adalah
Makruh.. Tapi berapa banyak yang kamu perlu
amalkan yang makruh sebelum ianya jatuh haram?
Sekali dua bolehlah makruh.. Tapi kalau dah
hari-hari bercukur, berbulan-bulan dan bertahun-tahun.

Kamu jawaplah sendiri..

Saturday, February 11, 2012

bukan lagi sejuta impian






bukan lagi sejuta impian


kau tanya tentang
sejuta impian

aku kata
yang tinggal hanyalah
7 billion impian Rasulullah

setiap satu
membebaskan mereka
dari api yang menyala

ay
11022012
ktn

Monday, February 6, 2012

dari kaca mata budak 12 tahun..






Sebuah kisah benar seperti yang diceritakan pada aku
30 tahun selepas peristiwa ini berlaku.
Semasa si empunya cerita berusia 12 tahun.

1979

Tahun ini sepatutnya menjadi tahun
yang gilang gemilang bagi Aman(bukan nama sebenar),
Apa tidaknya, pertama, kerana dia berjaya
naik ke kelas 6A. Kedua, dia telah terpilih
untuk mewakili dalam kesebelasan
utama pasukan bolasepak sekolah.
Dan beberapa hari yang lalu
pasukannya telah berjaya menjadi johan
daerah.

Ya, tahun yang akan kekal sebagai
tahun yang gemilang bagi dirinya.

Tapi apakan daya seorang budak.
Ujian Allah tiada mengenal usia.
HikmahNya tidak dapat kita
baca.

Pada pagi subuh hari yang
malang itu. Keluarga Aman
mendapat suatu khabar yang
mengejutkan. Khabar yang
tiada sesiapa terfikir dan menduga.
Khabar yang merubah terus
kehidupan setiap individu
keluarga ini, Semuanya tidak
akan menjadi sama lagi bagi
keluarga Aman. Tidak
sama sekali.

Kakak sulong Aman yang baru sahaja
putus tunang setahun yang lepas
meninggalkan sepucuk surat memberitahu
ayah dan emak Aman yang dia
telah meninggalkan rumah untuk berkhawin
dengan lelaki pilihan hatinya. Dia pergi
melalui tingkap pada malamnya bersama
sebahagian pakaiannya.  Dan mengharap
agar mereka merestuinya tapi jangan cuba
untuk mencari dan menghalangnya.

Lelaki yang dia ikut itu memang dikenali
oleh keluarga Aman. Dia adalah pemandu
bas dikampung mereka. Setiap hari mereka
akan berjumpa dengan pemuda itu bila
menaiki bas kebandar.

Pemandu bas kampung yang hitam dan tidak
kacak melarikan seorang gadis yang putih melepak
dan terkenal sebagai gadis paling cantik
dikampung. Suatu fakta yang tak mampu
diterima oleh benak kecil budak berumur
12 tahun seperti Aman.

Pagi itu Aman tidak ada selera untuk
kesekolah. Otak dan fikiran bagai tak
mampu untuk berfikir. Semuanya dikuasai
oleh kekacauan. 

Oh kak long apa yang telah kau buat ni?
Kami semua sangat sayang padamu kak.
Kami sangat suka pada layanan kamu
pada adik-adikmu ini. Kami sangat suka
pada cerita-cerita yang kamu ceritakan
pada kami. Dan memang kamu seorang
yang suka bercerita. Berbagai kisah kamu
ceritakan pada kami yang akan duduk
mengelilingmu dengan mulut yang terlopong.
Kadang-kadang kamu sengaja mempermainkan
kami dengan 'twist' yang tak logik yang akhirnya
akan membuatkan kami semua ketawa terbahak-bahak

Kami adik-adikmu akan kekal merindui saat itu.
Sekarang kamu telah pergi meninggalkan kami
semua demikaian rupa.

Aman memberitahu ayah dia tidak mahu pergi
kesekolah pagi itu. Tapi dia menerima herdikan
dari ayahnya.

"Apa! kamu mahu jadi tak berguna macam
kakakmu tu, pergi!"

Dengan berat hati Aman melangkah kaki
menaiki kereta ayahnya. Setiap pagi dia kesekolah
dengan ayah dan emaknya. Sekolah Aman terletak 
dibandar.

Ayah dan emaknya menjalankan
peniagaan kedai makan dibandar. Selalunya
kak long ada bersama kerana memang
kak long bekerja membantu emak di
restoran. Tapi pagi itu cuma kami bertiga
sahaja.

Seperti hari-hari yang lain, perjalanan
pagi seperti itu tidak banyak yang bersuara
tapi pagi itu walaupun tidak ada yang bercakap
tapi ketegangan yang ada didalam kereta itu
amat terasa.. Cuma sekali sekala Aman
melihat emaknya mengesat-ngesat airmatanya
namun tiada suara tangisan yang keluar.
Ayah cuma mendiamkan diri. Sekali
sekala Aman melihat dia berpaling
melihat emaknya.

"Dah lah, tak guna nangis. Awak nak
semua orang tahu ke. Biar semua orang
mengata kita tak pandai jaga anak. Tak
pun biar orang mengata kita ni mata duitan.
Tak nak terima menantu derebar bas."

Suara ayah Aman berhenti disitu. Tapi
bekas kata2 tadi bagai berdengung-dengung
dikuping telinga Aman dan tidak hilang2
sepanjang hari itu.

Selalunya perjalanan kesekolah terasa amat
seronok. Kerana memang Aman amat suka
kesekolah. Dia suka kerana dapat bertemu
dengan kawan-kawan terutama kawan baiknya
Malik yang kelakar.

Tapi hari itu terasa dia tidak mahu berjumpa
sesiapa. Kerana dia yang sebelum ini seorang
yang amat periang bakal menjadi seorang yang
pendiam. Fakta yang tak dapat disembunyikan
olehnya. Dan dia tahu semua rakan-rakannya
akan perasan dengan perubahan ini. Dan dia
tahu rakan-rakan dan cikgu akan bertanya
apa yang telah berlaku. Dan dia tidak akan
mampu untuk menyatakan yang sebenarnya.
Dan dia bukan seorang yang pandai berbohong.
Dan dia seorang yang tidak suka berbohong.

Seperti yang dia sangka berlaku semuanya
berlaku disekolah hari itu. Soalan demi soalan
terpaksa dia layan dengan sebaik mungkin.
'Dia kurang sihat' adalah alasan yang dia guna
bagi menutup rahsia keluarga yang dia sendiri
buat keputusan untuk merahsiakannya.

Apa yang dia tahu kakaknya telah lari dari
rumah untuk berkhawin dengan seorang
pemandu bas. Dan dia tidak bohong pada
dirinya yang dia malu akan fakta ini.
Dia tidak tahu kenapa dia malu. Dan dia juga
tahu semua ahli dalam keluarganya juga malu.

Tahun dia berada ditahun akhir sekolah rendah
menjadi tahun yang dia mahu lupakan terus dari
sejarah hidup. Tahun yang kerana dibayangi oleh satu
peristiwa hitam itu menghasilkan kenangan yang
kelabu semuanya.

 2009

Aku dan Aman sedang duduk dan minum
tidak jauh dari rumah Kak Long nya. Kami baru
pulang dari tanah perkuburan. Sebentar tadi
abang ipar Aman iaitu suami pada Kak Long
selamat dikebumikan. Dia meninggal pagi tadi
dan dikebumikan selepas asar.

"Ya, akhirnya selepas 10 tahun, emak dan ayah
aku telah menerima kembali kak long dan suaminya
dalam keluarga kami.
Kami adik beradik pula
memang tidak pernah menolak dia.

Tapi semuanya tidak sama lagi.
Bagai ada satu dinding halimunan yang
menghalang untuk kami dari menjadi
mesra seperti dahulunya.

Kak Long juga tidak cuba pulak
untuk berusaha membetulkan keadaan.
Dia bagai mengambil kesempatan
diatas keadaan ini. Keadaan adik beradik
yang rasa bersalah kerana tidak mampu
kembali menyayangi dia dan keluarganya
seperti yang sepatutnya.

Setelah ayah meninggal dunia, dia dan suaminya
membina sebuah kedai makan ditanah pusaka
tanpa memberitahu sesiapa. Kemudian membina
pulak sebuah rumah yang bagaikan istana itu.
Dan semua kami adik beradik cuma berdiam diri.

Dia terus sahaja memusnahkan kasih sayang.
Bermula dari malam dia melarikan diri hinggalah
sekarang."

Sedang kami berbual-bual itu datang sekumpulan
anak muda lalu disebelah meja kami. Tiada antara
mereka yang menegur. Mereka berlalu dan mengambil
tempat dimeja yang tidak berapa jauh dari kami.

"Anak-anak Kak Long aku tu" bisik Aman mengakhiri
perbualan kami.