Tuesday, February 28, 2012

dunia tidak akan berubah..

Dunia tidak akan berubah. Walau apa pun yang kamu lakukan.

Maksud saya, untuk dunia ini berubah secara total memerlukan
sesuatu atau seorang bersama beberapa orang 
dengan sesuatu usaha yang luarbiasa.

 Kali terakhir dunia ni melihat suatu perubahan secara total
adalah lebih 1400 tahun dahulu.


Dunia ini berubah dengan usaha yang amat luarbiasa. Usaha
yang amat 'humble' (pada pandangan manusia)
yang tidak terfikirkan oleh sesiapa pun.
Kecuali dengan ilham serta perintah dari Allah Taala.


Lebih 1400 tahun dahulu seorang manusia yang amat istimewa
telah memulakan langkah dengan usaha untuk merubah dunia ini.


Apa yang telah dia buat. Dia telah pergi keluar dari rumahnya.
meninggalkan keselesaan dalam rumahnya, meninggalkan isterinya,
dia telah keluar dan berjumpa manusia dan mengajak mereka kepada
Allah.


Tiada orang yang dia tidak jumpa ditempat dimana dia tinggal.
Tiada pintu yang dia tidak ketuk. Tiada lorong yang dia tidak
lalui. Tiada kabilah yang dia tidak jumpa. Untuk apa?
Untuk mengajak manusia kepada Allah.


Daripada dia berseorangan, kemudian berdua, kemudian bertiga,
dan seterusnya sedikit demi sedikit jumlahnya semakin ramai.


Setelah 23 tahun beliau berusaha bersama pengikutnya
yang setia akhirnya seluruh negeri tempat beliau tinggal
berubah. Benar-benar berubah. Dari pembunuh, penzina,
pemakan bangkai, peminum arak, penjudi dsn
seluruh penduduk serta rakyatnya telah berubah
menjadi manusia terbaik.


Dan selepas 20 tahun beliau pergi meninggalkan
dunia ini. Dengan usaha beliau yang diteruskan oleh
sahabat-sahabat dan pengikut-pengikutnya
2/3 dunia telah berubah. 


Wanita pada masa itu boleh bermusafir beratus batu
tanpa diganggu. Orang kaya menghadapi masa yang
sukar kerana tiada orang yang miskin untuk diberi
sedekah. Buah-buahan yang sedang masak ranum
tidak gugur ketanah walau berbulan-bulan lamanya
menunggu tuannya pulang dari jalan Allah.
Serigala bermain-main dengan biri-biri.
Rezeki dan keberkatan dari bumi dan dari
langit mencurah-curah. Wabak dan penyakit
tidak ada. Bumi tidak bergoncang. Angin tidak
menjadi ribut.


Dunia hanya akan berubah bila manusia
mula keluar berjumpa manusia dan
mengajak mereka kepada Allah. Noktah.





















Sunday, February 12, 2012

jangan menyerupai





Khutbah pada solat Jumaat yang lepas bermula dengan membaca hadis ini,

daripada Ibnu Umar: Rasulullah bersabda;

 “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”.

riwayat: Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar

Kemudian khatib pun berhujah tentang mengenai asal usul
perayaan hari Valentine atau hari kekasih.. Tentang ianya
bermula dari negara Sepanyol dizaman pemerintahan Ratu
Isabella.. Perayaan ini berkaitan dengan perayaan
kemenangan kerajaan Kristian Sepanyol
keatas Kerajaan Islam Andalusia di kurun ke 15..

Tapi sebenarnya versi yang lebih popular adalah mengenai
seorang paderi yang dihukum bunuh oleh pemerintah Rom
sebelum Kristian bertapak disana pada  tahun 269 masihi..

Dan ada lagi beberapa versi yang agak kurang popular..

Apa yang aku ingin nyatakan disini adalah.. Walau apa pun
dan dalam apa jua keadaan, hujah yang hendak kita sampaikan 
perlulah dengan kajian dan berhujah dengan fakta yang tepat dan
betul.. Atau kalau ingin mengunakan mitos biarlah mengambil
mitos yang lebih popular..

Oleh kerana gereja Roman Katolik sendiri telah memadamkan
perayaan ini dari kelender rasmi mereka.. dan mengumumkan
hari Valentine bukan satu perayaan agama.. mengapa pulak kita
yang memandai menyatakan ianya perayaan agama kristian.

kenapa pulak aku mempertahankan perayaan yang tak berguna ini..
tanya kamu semua?

Untuk pengetahuan kamu semua yang berotak kecil.. Aku
menulis mengenai perkara ini sebab pada pendapat aku
perkara mengenai Valentine ini tidak perlu untuk dihujahkan
dimimbar Jumaat.. perkaranya sangat remeh jika dibandingkan
dengan fakta bahawa lebih 80 % umat islam pada masa ini
tidak mengerjaka Solat.

Dan ingatlah tidak solat adalah amat lebih menyerupai orang kafir
daripada menyambut hari kekasih.

Perlulah kamu orang semua tahu aku tak pernah hantar apa-apa
kepada sesiapa semasa jahil(sangat tak cool bagi seorang kutu
sambut Valentine)
atau selepas jahil(kerana solat mencegah aku dari buat demikian)
walaupun aku sudah ada isteri.

Pada pendapat aku.. Hari kekasih ini tak lebih dari suatu
acara yang melibatkan budaya barat. Dan ramai pihak yang
ingin mencapai kejayaan perniagaan daripada acara tahunan ini..
Its only business.. Ini semua orang yang cerdik tahu akan hal ini..

Ianya merupakan suatu perniagaan yang melibatkan pendapatan
global bernilai berbillion ringgit. Siapa yang mahu melepaskan
peluang dalam dunia yang bermata duitan ini..

Di dalam khutbah itu juga khatib menisytiharkan
fatwa dari Jakim yang menyatakan bahawa perayaan
hari Valentine adalah haram dan berdosa menyambutnya..

Memanglah orang-orang yang 'selok' menyambut hari kekasih ini
terdiri dari mereka-mereka yang jahil lagi bodoh.. Tapi
pernahkah kita fikir sebab apa mereka buat demikaian..

Dan dari kita mengerah tenaga membuat terjahan ke
tempat-tempat tumpuan para remaja bagi menangkap
mereka akibat menyambut hari kekasih.
Lebih baik kita kerah tenaga memikir, membuat
perancangan, memasang strategi mengajak mereka
kepada solat..
Bila seseorang itu mula solat bukan sahaja hari
kekasih mereka akan tinggalkan.. Menyambut
hari kelahiran jugak mereka akan lupakan..

Ye la.. menyambut hari kelahiran juga
budaya barat.. dan menyambutnya pun
sama seperti menyambut hari kekasih jugak..
Setahun sekali..

Menyambut kelahiran Nabi?

Entah akupun tak tahu.. Tapi yang pasti Nabi
tak pernah minta hari kelahiranya disambut..

Memanglah kata sebahagian mereka.. Memang
ianya bidaah.. Tapi bidaah hasanah..

Kata aku, tak salah buat bidaah hasanah kalau
amalan Sunnah kita telah sempurna..
Masaalahnya banyak lagi amalan Sunnah
yang kita tidak buat..

Amalan yang diberatkan kita tinggalkan.. Yang bidaah
sangat-sangat kita pertahankan..

Yang bidaah tu kita buat ala kadar dahlah dan
bila ditegur usahlah kita beriya sangat
mempertahankannya..

Walaubagaimanapun aku sukakan hadis yang
dibaca oleh khatib masa khutbah itu yang
bermaksud:

Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda,
Di antara fitrah Islam ialah mengerat misai
dan memanjangkan janggut kerana sesungguhnya
orang-orang Majusi memanjangkan misai mereka
dan mengerat janggut, berbezalah kamu daripada
mereka dengan mengerat misai kamu dan
memanjangkan janggut-janggut kamu” (Ibnu Hibban)

Selepas mendengar hadis ini aku memandang keliling
dan rata-rata aku dapati ramai antara ahli jemaah
yang tiada berjanggut.. Dan yang berjanggut pun
digunting rapat.. Hadis ini bukan suatu yang jarang
kita dengar.. Tapi adakah mereka tak faham makna
"memanjangkan janggut". Aku faham sebab aku
cerdik.. Kamu?

Dan oh jangan lupa kamu yang
mengaku bermazhab Shafie.. Sila semak kembali
kitab beliau.. Didalamnya Imam Shafie ada
memberi pendapat yang memanjangkan janggut
adalah wajib dan mencukurnya adalah haram..

Atau pun kamu mahu berubah mazhab sekarang..
Boleh saja ikut Hanafi.. Yang menyatakan memanjangkan
janggut itu Sunat Muakkad dan Mencukurnya adalah
Makruh.. Tapi berapa banyak yang kamu perlu
amalkan yang makruh sebelum ianya jatuh haram?
Sekali dua bolehlah makruh.. Tapi kalau dah
hari-hari bercukur, berbulan-bulan dan bertahun-tahun.

Kamu jawaplah sendiri..

Saturday, February 11, 2012

bukan lagi sejuta impian






bukan lagi sejuta impian


kau tanya tentang
sejuta impian

aku kata
yang tinggal hanyalah
7 billion impian Rasulullah

setiap satu
membebaskan mereka
dari api yang menyala

ay
11022012
ktn

Monday, February 6, 2012

dari kaca mata budak 12 tahun..






Sebuah kisah benar seperti yang diceritakan pada aku
30 tahun selepas peristiwa ini berlaku.
Semasa si empunya cerita berusia 12 tahun.

1979

Tahun ini sepatutnya menjadi tahun
yang gilang gemilang bagi Aman(bukan nama sebenar),
Apa tidaknya, pertama, kerana dia berjaya
naik ke kelas 6A. Kedua, dia telah terpilih
untuk mewakili dalam kesebelasan
utama pasukan bolasepak sekolah.
Dan beberapa hari yang lalu
pasukannya telah berjaya menjadi johan
daerah.

Ya, tahun yang akan kekal sebagai
tahun yang gemilang bagi dirinya.

Tapi apakan daya seorang budak.
Ujian Allah tiada mengenal usia.
HikmahNya tidak dapat kita
baca.

Pada pagi subuh hari yang
malang itu. Keluarga Aman
mendapat suatu khabar yang
mengejutkan. Khabar yang
tiada sesiapa terfikir dan menduga.
Khabar yang merubah terus
kehidupan setiap individu
keluarga ini, Semuanya tidak
akan menjadi sama lagi bagi
keluarga Aman. Tidak
sama sekali.

Kakak sulong Aman yang baru sahaja
putus tunang setahun yang lepas
meninggalkan sepucuk surat memberitahu
ayah dan emak Aman yang dia
telah meninggalkan rumah untuk berkhawin
dengan lelaki pilihan hatinya. Dia pergi
melalui tingkap pada malamnya bersama
sebahagian pakaiannya.  Dan mengharap
agar mereka merestuinya tapi jangan cuba
untuk mencari dan menghalangnya.

Lelaki yang dia ikut itu memang dikenali
oleh keluarga Aman. Dia adalah pemandu
bas dikampung mereka. Setiap hari mereka
akan berjumpa dengan pemuda itu bila
menaiki bas kebandar.

Pemandu bas kampung yang hitam dan tidak
kacak melarikan seorang gadis yang putih melepak
dan terkenal sebagai gadis paling cantik
dikampung. Suatu fakta yang tak mampu
diterima oleh benak kecil budak berumur
12 tahun seperti Aman.

Pagi itu Aman tidak ada selera untuk
kesekolah. Otak dan fikiran bagai tak
mampu untuk berfikir. Semuanya dikuasai
oleh kekacauan. 

Oh kak long apa yang telah kau buat ni?
Kami semua sangat sayang padamu kak.
Kami sangat suka pada layanan kamu
pada adik-adikmu ini. Kami sangat suka
pada cerita-cerita yang kamu ceritakan
pada kami. Dan memang kamu seorang
yang suka bercerita. Berbagai kisah kamu
ceritakan pada kami yang akan duduk
mengelilingmu dengan mulut yang terlopong.
Kadang-kadang kamu sengaja mempermainkan
kami dengan 'twist' yang tak logik yang akhirnya
akan membuatkan kami semua ketawa terbahak-bahak

Kami adik-adikmu akan kekal merindui saat itu.
Sekarang kamu telah pergi meninggalkan kami
semua demikaian rupa.

Aman memberitahu ayah dia tidak mahu pergi
kesekolah pagi itu. Tapi dia menerima herdikan
dari ayahnya.

"Apa! kamu mahu jadi tak berguna macam
kakakmu tu, pergi!"

Dengan berat hati Aman melangkah kaki
menaiki kereta ayahnya. Setiap pagi dia kesekolah
dengan ayah dan emaknya. Sekolah Aman terletak 
dibandar.

Ayah dan emaknya menjalankan
peniagaan kedai makan dibandar. Selalunya
kak long ada bersama kerana memang
kak long bekerja membantu emak di
restoran. Tapi pagi itu cuma kami bertiga
sahaja.

Seperti hari-hari yang lain, perjalanan
pagi seperti itu tidak banyak yang bersuara
tapi pagi itu walaupun tidak ada yang bercakap
tapi ketegangan yang ada didalam kereta itu
amat terasa.. Cuma sekali sekala Aman
melihat emaknya mengesat-ngesat airmatanya
namun tiada suara tangisan yang keluar.
Ayah cuma mendiamkan diri. Sekali
sekala Aman melihat dia berpaling
melihat emaknya.

"Dah lah, tak guna nangis. Awak nak
semua orang tahu ke. Biar semua orang
mengata kita tak pandai jaga anak. Tak
pun biar orang mengata kita ni mata duitan.
Tak nak terima menantu derebar bas."

Suara ayah Aman berhenti disitu. Tapi
bekas kata2 tadi bagai berdengung-dengung
dikuping telinga Aman dan tidak hilang2
sepanjang hari itu.

Selalunya perjalanan kesekolah terasa amat
seronok. Kerana memang Aman amat suka
kesekolah. Dia suka kerana dapat bertemu
dengan kawan-kawan terutama kawan baiknya
Malik yang kelakar.

Tapi hari itu terasa dia tidak mahu berjumpa
sesiapa. Kerana dia yang sebelum ini seorang
yang amat periang bakal menjadi seorang yang
pendiam. Fakta yang tak dapat disembunyikan
olehnya. Dan dia tahu semua rakan-rakannya
akan perasan dengan perubahan ini. Dan dia
tahu rakan-rakan dan cikgu akan bertanya
apa yang telah berlaku. Dan dia tidak akan
mampu untuk menyatakan yang sebenarnya.
Dan dia bukan seorang yang pandai berbohong.
Dan dia seorang yang tidak suka berbohong.

Seperti yang dia sangka berlaku semuanya
berlaku disekolah hari itu. Soalan demi soalan
terpaksa dia layan dengan sebaik mungkin.
'Dia kurang sihat' adalah alasan yang dia guna
bagi menutup rahsia keluarga yang dia sendiri
buat keputusan untuk merahsiakannya.

Apa yang dia tahu kakaknya telah lari dari
rumah untuk berkhawin dengan seorang
pemandu bas. Dan dia tidak bohong pada
dirinya yang dia malu akan fakta ini.
Dia tidak tahu kenapa dia malu. Dan dia juga
tahu semua ahli dalam keluarganya juga malu.

Tahun dia berada ditahun akhir sekolah rendah
menjadi tahun yang dia mahu lupakan terus dari
sejarah hidup. Tahun yang kerana dibayangi oleh satu
peristiwa hitam itu menghasilkan kenangan yang
kelabu semuanya.

 2009

Aku dan Aman sedang duduk dan minum
tidak jauh dari rumah Kak Long nya. Kami baru
pulang dari tanah perkuburan. Sebentar tadi
abang ipar Aman iaitu suami pada Kak Long
selamat dikebumikan. Dia meninggal pagi tadi
dan dikebumikan selepas asar.

"Ya, akhirnya selepas 10 tahun, emak dan ayah
aku telah menerima kembali kak long dan suaminya
dalam keluarga kami.
Kami adik beradik pula
memang tidak pernah menolak dia.

Tapi semuanya tidak sama lagi.
Bagai ada satu dinding halimunan yang
menghalang untuk kami dari menjadi
mesra seperti dahulunya.

Kak Long juga tidak cuba pulak
untuk berusaha membetulkan keadaan.
Dia bagai mengambil kesempatan
diatas keadaan ini. Keadaan adik beradik
yang rasa bersalah kerana tidak mampu
kembali menyayangi dia dan keluarganya
seperti yang sepatutnya.

Setelah ayah meninggal dunia, dia dan suaminya
membina sebuah kedai makan ditanah pusaka
tanpa memberitahu sesiapa. Kemudian membina
pulak sebuah rumah yang bagaikan istana itu.
Dan semua kami adik beradik cuma berdiam diri.

Dia terus sahaja memusnahkan kasih sayang.
Bermula dari malam dia melarikan diri hinggalah
sekarang."

Sedang kami berbual-bual itu datang sekumpulan
anak muda lalu disebelah meja kami. Tiada antara
mereka yang menegur. Mereka berlalu dan mengambil
tempat dimeja yang tidak berapa jauh dari kami.

"Anak-anak Kak Long aku tu" bisik Aman mengakhiri
perbualan kami.

Sunday, February 5, 2012

kenapa aku tulis sajak





Aku


Kalau sampai waktuku
‘Ku mau tak seorang kan merayu

Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu


Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang


Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari

Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi

Chairil Anwar
Maret 1943...



Sajak ini daripada Chairil Anwar,
pertama kali aku baca semasa
aku berada di tingkatan 1. Aku tidak
tahu apa maksudnya pada masa itu.
Tapi ianya cukup memberi impak
yang besar bagi diriku.


Ia memberi aku suatu inspirasi.
Aku mahu menulis sajak seperti ini.
It sound so damn cool.

Setiap kali aku baca sajak ini
setiap kali aku akan menulis sajak
seperti mahu menyainginya.
Setiap kali aku gagal.

Tapi aku tetap terus menulis.
Kerana sajak ini menjadikan
aku sebagaimana aku sekarang.


Ada masa aku yakin aku tak akan
mampu menyaingi sajak ini kerana
aku bukan seorang rebel sebagaimana
Chairil Anwar dan masa dan keadaan
juga amat jauh berbeza.


Tapi aku tetap akan menulis selagi
sajak ini masih ada dan dapat aku baca.







Thursday, February 2, 2012

siri sajak pilihan

dia

dia seperti pelangi
cantik cemerlang
hanya dapat dipandang

dia seperti kabut
menghalang pandangan
membawa suhu sejuk dan nyaman

dia seperti salji
tiada disini
putih bersihnya
tidak dapat buat dinikmati


dia seperti aurora
membuat orang seperti aku
hanya mampu merindu
tidak tahu
adakah ada waktu
akan bertemu


ay
020212
ktn