Tuesday, December 13, 2011

Hanya kerana seorang perempuan




Beberapa tahun dahulu aku bertemu dengan seorang  kawan lama.
Masa tu kami sama-sama sedang menunggu isteri masing-masing
buat check-up di sebuah hospital di Kuala Lumpur.
Kawan sekolah aku ni dulu dizaman persekolahan dan masa dia
belajar di ITM merupakan seorang kutu.
Tapi kutu pada pakaian sahaja,
pakaiannya rugged dan berambut panjang.
Walaupun demikian dia tidak
main dadah dan tidak jugak terlibat dengan
apa-apa jenayah.

Cuma seperti kebanyakan kutu dia seorang
perokok dan amat kurang
dari segi amalan agamanya.
Solat pun kadang-kadang sahaja.
Namun suatu yang baiknya apabila bulan Ramadan
dia tak pernah tinggal puasa.

Tapi masa aku terjumpa dia hari tu dia
telah banyak berubah. Sekarang dia
dah berjanggut dan berkopiah.
Sekarang dia seorang yang sangat menjaga solat.
Bercakap pun hal-hal yang baik sahaja.

Aku pun bertanya pada dia sejak bila dia berubah ni.

Dia kata dah lama dah, beberapa tahun lepas grad.

Semuanya pasal seorang perempuan sambungnya.

Macammana tanya aku.

Beginilah ceritanya..

Beberapa hari setelah menjejakkan kaki ke
 menara gading(ITM) aku terpandang
seorang siswi baru yang sama semester dengan aku
tapi berlainan kursus.
Tak dapat aku gambarkan apa perasaan aku masa tu.
Dia pada pandangan mataku seorang gadis
yang paling cantik pernah aku lihat.
Semua yang ada pada diri gadis itu
terlalu sempurna bagiku. Bentuk
mukanya, rambutnya, senyumanya,
cara dia berjalan, malah cara dia
berpakaian juga, pilihan warna
baju kurungnya juga semuanya sempurna.

Pandangan pertama aku pada gadis itu
terasa tertusuk pada jantungku dan
dan kesan pada tusukan itu kekal bersemadi
didalam jantungku.

Selepas pada hari itu, setiap kali aku tersua
dengan gadis itu jantungku
akan bergoncang dengan kencangnya hingga
terasa amat menyakitkan.
Sakit tapi seronok. Setiap kali aku akan berselisih
dengan gadis itu aku
jadi gelabah, aku jadi panik,
Seperti budak sekolah yang sedang ponteng
tersua dengan ayah dia di tengah bandar.

Setiap kali bertembung dengan gadis itu aku
dapat rasa peluh sejuk mula mengalir.
Dan aku amat bimbang kalau kalau dia dapat
mendengar degupan jantungku
jika aku lalu disebelahnya.

Biasa terjadi dalam tak semena-mena jantung
aku tiba-tiba jadi berdebar-debar.
Dan bila ini terjadi aku akan perhati keliling,
dan aku akan dapati gadis itu ada
tidak jauh dari tempat aku sedang
berjalan atau duduk.

Apa dah jadi pada diri aku ni.
Kenapa kehadiran gadis ini dalam hidup aku
menjadikan hidup aku tak keharuan.
Aku datang ke ITM ini untuk belajar
kejar cita-cita sambil 'mengutu part-time'.
Tapi gadis ini merubah terus
kehidupan aku di kampus.
Aku tidak dapat tumpu pada pelajaran 100%
Setiap saat aku teringat gadis itu.
Masa dalam dewan kuliah, masa dalam kelas,
masa berjalan, masa makan, masa bermain,
masa mandi. Aku tidak dapat
tidur malam, aku tidak dapat study.
Yang ada dalam diri ku hanya gadis itu.

Tidak lama selepas peristiwa aku terpandang
gadis itu pertama kalinya aku dapat tahu nama dia.
Setelah aku tahu nama dia aku berjaya pula
mendapat tarikh lahir dan alamat rumahnya.
Semuanya aku hafal dalam kepalaku
sampai sekarang.

Walaupun demikain aku adalah seorang kutu.
Kutu tidak boleh bergirlfriend.
Lagi pun orang yang tak ada rupa macam aku dan
dari keluarga yang
tak berharta tidak layak berkawan dengan dia,
Dengan pandangan yang demikain
aku tidak pernah berusaha untuk 'tackle' gadis itu.
Aku biarkan sahaja hati aku ini terus merana.

Tapi semuanya berubah apabila pada suatu hari
aku lihat seorang kawan kelas aku sendiri
berjalan dengan gadis itu.

Memang aku tahu ramai yang minat gadis itu.
Tapi kawan aku sendiri. Ini sesuatu sesuatu
yang diluar jangkaan.

Apa yang aku hendak buat sekarang.
Gadis itu sudah jelas sedang bercinta dengan kawan
aku sendiri. Hitam dan gelaplah segala harapan dan angan-angan.
Kerana seorang kutu tidak
akan mengkhianati sahabatnya,
jauh sekali berusaha merampas kekasih mereka.

Apa yang aku dapat buat hanyalah menjadikan
diri aku lebih rapat dengan sahabat itu.
Sehingga aku menjadi sahabat dia yang paling baik.
Habuannya. Aku dapat 'firsthand'
segala cerita kisah mereka berdua.
Aku menjadi pendengar yang setia. Dan tidak
jemu-jemu mendengar. Tidak puas-puas.
Dan kebetulan sahabat ini memang jenis
orang yang suka bercerita. Tiada rahsia. MasyaAllah.

Wahai gadis pujaanku kalaulah kau milikku
segala cerita kita akan hanya milik kita berdua sahaja.

Pun begitu aku sangat gembira kerana dapat 'hampir'
dengan gadis itu walaupun hanya.
sebagai pemasang telinga sahaja.

Dan bayangan gadis itu kekal dalam pelukan.
Hanya bayang bayang.

Selama 3 tahun di ITM hidup aku seperti di awangan.
Berjalan dan duduk tidak mencecah bumi.

Namun aku lulus jugak 'but only just' kata orang putih.
Tidak ada yang cemerlang.
Hanya kerana seorang perempuan..

Aku rasa apabila aku dah keluar ITM segalanya akan selesai.
Aku akan dapat lupakan gadis itu.
Dan aku akan dapat jalani hidup dengan biasa.
Tanpa gangguan.
Tangapan aku amat meleset. Kerana semuanya
bermula bila aku keluar dari ITM.
This is only the beginning!

Banyak perkara yang berlaku namun dipendekkan cerita.
Sahabat aku dan gadis itu berpisah dari menjadi
sepasang kekasih beberapa bulan selepas graduasi.

Aku tak semena-mena menjadi panik.
Sumber untuk aku dengar cerita gadis itu telah
tiada. Aku panik sebab apa-apa hubungan
yang sedikit yang aku ada dengan
gadis itu akan hilang.
Putus seperti layang-layang yang putus talinya.

Aku nekad. Setelah setahun meninggalkan alam belajar.
Aku mencapai pen
dan kertas dan aku pun mula menulis.
Aku curahkan segala-galanya didalam
sebuah surat cinta. Tidak ada yang tertinggal aku
ceritakan segala-segalanya.
dan surat itu aku poskan diatas nama dan alamat gadis
itu yang memang telah
aku hafal sejak dari tahun pertama aku di ITM lagi.

Dan dengan penuh rasa tersiksa aku menanti
jawapan dari dia. Tidak kurang dari segala macam
tanggapan dan andaian bagaimana penerimaan
gadis itu aan surat yang aku kirimkan.
Sebuah surat cinta dari
seorang yang dia tahu hanya seorang kawan
dari bekas kekasihnya.
Namun dalam surat itu aku bukan menagih cinta
tapi sekadar menghulurkan tangan persahabatan.

Sebulan berlalu tiada jawapan yang diterima.
Surat kedua dari aku
pun menyusul dengan pengharapan yang amat sedikit.
Kalau surat yang kedua ini tidak dibalas.
Aku  bercadang untuk menulis surat
yang ketiga dan terakhir.

Tidak lama setelah aku  menghantar surat kedua itu
aku terima balasan
yang aku nanti-nantikan dari gadis itu.

Hari itu dunia ini aku rasakan amat indah.
Semua bunyi-bunyi yang
aku dengar menjadi muzik ditelingaku.
Semuanya indah bila surat
bersampul biru yang aku terima itu, isi didalamnya
 tulisan tangan gadis yang
selama ini aku cuma pandang dari jauh. Apa lagi bila dia kata:

'Kita sambung cerita kita'

Dia sudi jadi sahabat aku.

Dan bermula dari situ kami pun berkawanlah
 tapi hanya surat sebagai perantaraan.
Maklumlah aku di Selatan sedang dia di Utara.

Aku menjadi penulis surat yang gila kerana menjadi
gila menulis surat. Aku menulis surat sebagaimana
orang sekarang menulis di facebook.(ayat tambahan penulis)
Selama bebrapa bulan aku menulis setiap hari.
Surat serta kad yang dibuat
sendiri dengan sajak dan puisi hari-hari aku tulis.
Hari-hari aku poskan.

Gadis itu tidak terfikir sebelum ini dengan siapa
dia telah libatkan dirinya.
Dia menjadi gila menerima kiriman-kiriman
dari aku yang gila ini.

Aku rasa selama 2 tahun aku berutusan
dengan gadis itu tidak kurang
dari 500 kiriman yang aku hantarkan kepadanya.
Surat, kad, tshirt (print tangan), kaset, buku dsn.
Ada juga sebuah novel grafik tulisan
dan lakaran tangan aku sendiri.
Hingga sekarang aku terfikir-fikir
dari mana aku dapat tenaga dan ilham
untuk buat semuanya itu.

Rupanya sesuka mana dia menerima segala kiriman aku.
Tidak juga
aku memenangi dirinya 100%,
Dalam diam dia mengikat pertunangan
dengan seorang pemuda pilihan hatinya.

Memang dia putus dengan sahabat aku dulu pun
kerna pemuda itu.
Tapi sengaja aku tidak ambil peduli.
Kerana selama ini aku telah terlalu
derita untuk ambil peduli.
Cuma bila dari mulut dia sendiri dia menyatakan
yang dia telah bertunang setelah
dua tahun kami berkawan.

Aku dapati dunia ini menjadi lebih gelap dari dahulu.

Walaupun dia tidak mahu lepaskan aku sebagai sahabat.
Diri siapa yang
hendak kami bohong.

Tak lama setelah berita itu keluar dari mulutnya.
Aku memulangkan beberapa
keping gambar yang telah dia kirimkan.
Dan aku nyatakan aku tidak mahu menjadi
orang yang menganggu hubungan orang yang sedang bertunangan.

Sebaik dia meneima surat berserta gambarnya itu.
Dia terus menelefon aku dipejabat.
Pertama kali dia melakukan demikian kerana
sebelum ini kami
hanya beberapa kali bercakap di telefon itu pun
dirumah atau dipondok
telefon awam sahaja.

Dia menangis. Dan aku berusaha menenangkan dia
sambil diperhatikan oleh semua rakan pejabat
yang pelik kerana aku tak pernah terima
apa-apa panggilan yang personal dipejabat sebelum ini.
Malu jugak rasanya. tapi demi dia aku tebalkan semuanya.

Aku berjanji aku terus berkawan. Tapi sebenarnya aku tipu.

Cukup bulan aku berhenti kerja. 2 minngu selepas itu
aku keluar ikut jemaah tabligh selama 4 bulan
ke India, Pakistan  dan Bangladesh.

Hanya kerana seorang perempuan.

Ada lagi beberapa perkara yang dia hendak
ceritakan pada aku tapi
rupanya masa berlalu sangat pantas.
Dia tidak sempat menceritakan semuanya.
Kerana isteri yang dia tunggu telah selesai membuat
check-up bulanan ibu mengandung.

"Anak ke 3,"  katanya.

"Samalah dengan aku," kataku.

Sebelum dia bergegas mendapatkan isterinya
yang berpakaian purdah itu.

Dia sempat berbisik pada aku.

"Itu gadisku sedang menuggu...."

Aku terpinga-pinga. "Macammana...?"

Sambil berjalan dia berpaling dan tersenyum.

"Nanti aku cerita lain," katanya.

Rupanya itulah kali terakhir aku berjumpa dengan dia.
Dalam sibuk bercerita kami lupa untuk bertukar nombor telepon.
Sampai sekarang aku masih menanti akan dia menghabiskan
ceritanya.

Dua sebab kenapa aku tidak pernah ceritakan
kisah ini dimana-mana.

Pertama: kerana aku masih menanti akan sambungannya.

Kedua: kerana kisah dia 90% adalah sama 
dengan kisah aku
kerana menceritakan kisah ini seperti menceritakan 
kisah hidup aku jugak.
Cuma beza 10% itu kerana mereka bertemu 
jodoh akhirnya. sedang aku tidak.

Aku ada kenal seorang lagi yang ceritanya hampir
sama dengan cerita kami ini.
Aku mula yakin bahawa kisah begini adalah
lumrah hidup seorang pemuda seperti kami.

Walaupun hanya kerana seorang perempuan
kami bersyukur kerana
Allah membuka pintu hidayat buat kami.

Isteriku yang aku tunggu menepuk bahuku.

"Hai jauh termenung," katanya.

"Takda, saja terkenang kisah lama," jawap aku.

"Ingat girlfriend lama kot," usik isteriku dan disebalik
purdahnya aku nampak matanya tersenyum.

"Nanti balik abang cerita. Orang dalam perut sihat?" kataku,
sambil memimpin tangan isteriku ketempat parking kereta.

10 comments:

As said...

Subhanallah indah.

Moga jadi asbab hidayat buat ummat! :)

p/s: Terpana membaca. Heh.

abuyusof said...

dah lama nak tulis cerita yang menarik ni.. tapi hanya sekarang berkesempatan..

~PENCHENTA~ said...

Ya Allah. Sukanya baca.

Bila nak sambung ni?

Uhuh.

Nanti roger eh bila ada sambungan. :D

abuyusof said...

PENCHENTA:

maaf cerita ini hanya disini tiada part II.. tapi saya akan terus menulis kisah2 yang terbaik untuk dikongsi bersama Insyaallah..

Anonymous said...

Subhanallah...nice story...i feel it..mmg seolah2 sy y ad dlm situasi tu..^^..syukran "hanya kerana 1 tajuk ni" :)

abuyusof said...

anonymous(who ever u r)..

u yang boy ke yang girl..

Aishah Nur Hakim said...

Bila abang dah mula giat semula menulis ni,
teringat zaman awal saya berblog

:)
silangbunga inilah jadi tatapan.
hik




ini bukan "hanya kerana" ni abang...
hebat allah jadikan perempuan kan?
hebat allah jadikan lelaki



doakan kami abang,

jadi perempuan,
yang dicemburui bidadari


:)

abuyusof said...

tabik aishah :P

SIM said...

NIKMAT

Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat
yang paling padat.


A. Samad Said
(Benih Semalu)


Yang kita sangka baik, belum tentu baik.
Yang kita sangka buruk, belum tentu buruk.

@->- Nice story enche.. :)

abuyusof said...

komen yang baik dari SIM

TQ